Gerak-gerak

Lagu

Wednesday 22 March 2017

Langit Masih Cerah




Petang itu, aku mengambil keputusan untuk menikmati indahnya suasana petang di tepi laut. Udara segar, bunyi ombak, burung berkicauan. Aduh, jiwa rasa tenang. Nikmat ini yang aku cari, ketenangan ini yang aku terlalu ingini.

Cerah langit hari ini. Tidak terlalu panas dan tidak juga hujan. Angin sepoi-sepoi bahasa buat aku hanyut dalam duniaku sendiri. Puas aku bermain dengan hati dan perasaan sendiri. Aku meletakkan harapan pada perkara yang aku tidak tahu bagaimana hujungnya nanti. Akhirnya, aku sendiri tersungkur.

*****************************

"Aku tidak mahu kau terluka. Sebab itu aku menjauhkan diri dari kau. Ya, jujur aku sudah berpunya. Jangan tanya siapa. Cukuplah kau tahu aku sudah bersama dengan yang lain. Jangan sakiti hatimu sendiri dengan bertanya."

Entah akukah yang menyakiti hati sendiri atau kau yang mencipta persepsi sendiri aku bakal menyakiti perasaan sendiri.

"Biarlah aku tahu. Sudah alang-alang terluka. Apalagi perlu kau takutkan. Jawapan ya itu saja sudah cukup buat aku tidak bernafas."

"Aku kembali bersama dia, bekas kekasih aku dulu. Aku minta maaf."

Jawapan yang aku sudah tahu. Jawapan yang sudah aku agak dari saat kami bersama lagi. Saat dia memberitahuku dia masih berhubung dengan bekas kekasih lamanya itu. Tapi untuk kesekian kalinya, air mata aku jatuh lagi. Jawapan yang sudah ku tahu itu tetap tidak mampu menipu mataku. Aku terluka. Aku merasakan hatiku seperti disiat-siat lalu ditaburi garam. Aku tewas.

"Baguslah. Tahniah! Aku doakan kebahagiaan kamu berdua."

Jawabku dalam keadaan tidak redha. Jujur, masa itu aku tidak tahu bagaimana aku harus mengikhlaskan dan redha dengan apa yang telah berlaku. Sepanjang kami bersama, aku ikat hati dan perasaan ku untuk dia seorang. Aku bataskan pergaulan ku. Untuk berchat dengan lelaki lain saja aku tidak, apalagi untuk terfikir hatiku akan beralih arah. Tidak sama sekali.

"Tapi persahabatan baik kita masih macam dulu, kan?", balas dia.

"Bersahabat baik atau tidak, itu terpulang dari kau. Kau yang menjauhkan diri dari aku, kau yang mencipta jarak antara kita."

Dulu, dia insan yang berkeras melarang aku untuk menjauh dari dia. Berkali-kali aku cuba menjauhinya, berganda-ganda juga usahanya memujuk untuk aku tetap di sisinya. Tapi sekarang, dia yang pergi menjauh meninggalkan aku terkapai-kapai bersama kata-kataku bahawa aku tidak akan pernah tinggalkan dia, walau cuma sebatas kawan.

"Okay lah. Tidak elok pula sembang lama-lama. Nanti girlfriend kau tahu, cemburu pula dia. Jaga diri, jumpa lagi." Sambungku.

"Baiklah. Jumpa lagi. Kita masih kawan, kan?"

Aku biarkan persoalan itu tanpa jawapan. Aku ingin segera mengakhiri perbualan itu sebelum air mata ku mengalir lebih deras dari sebelumnya. Jujur, kekuatan yang selama ini aku simpan, entah hilang ke mana. Aku hilang kata. Penantian yang aku tunggu selama ini akhirnya terkubur begitu saja.

Aku pernah bertanyakan soal ini. Apakah dia memilih aku atau bekas kekasihnya. Katanya, dia tidak mahu memikirkan soal itu. Dia tidak mahu memilih siapa-siapa. Cukup setakat itu. Tapi akhirnya, aku yang ditipu. Dia hilang tanpa berita dan bersama dengan bekas kekasihnya.

Malam itu, tanpa segan silu aku chat kawan baik ku. Aku menangis teresak-esak menceritakan apa yang berlaku. Hati aku terlalu pedih. Jiwa aku meronta kesakitan. Aku buntu. Puas aku memujuk hati sendiri. Dan akhirnya aku akur akan satu perkara, hati dan perasaan itu tidak boleh dipaksa.

Aku mungkin kalah dengan cintamu. Tapi aku menang dengan kesetiaanku.






--Aya Sasa--