Gerak-gerak

Lagu

Thursday 30 October 2014

NASIHAT ITU TANDA SAYANG

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah untuk setiap detik yang kita lalui.
Alhamdulillah untuk setiap hembusan nafas percuma yang Allah kurniakan.
Alhamdulillah untuk semua nikmat yang tidak mungkin mampu kita balas,
walau dengan dunia seisinya.

Nasihat.
Orang kata.
Nasihat itu tanda sayang.
Yalah. Mana mungkin orang yang saling membenci,
memberi nasihat sesama mereka.
Tidak mungkin orang yang berdendam,
punya masa untuk berbagi nasihat.

Manusia.
Hebatnya dalam memberi nasihat.
Tapi mungkin lemah dalam praktikalnya.
Hebatnya menasihati orang lain.
Tapi selalu tewas bila berhadapan dengan diri sendiri.
Sebab tu kita saling memerlukan.
Kita saling butuhkan, antara kau dan aku.

Bukan mahu kata hidup ini mudah.
Tidak. Langsung tidak.
Apa kamu kira Allah jadikan kamu di dunia ini saja-saja?
Tidak perlu pada ujian dan dugaan?
Jika begitu, kamu silap percaturan.
Ujian itu tanda sayangnya Allah.
Dugaan itu membawa diri lebih dekat pada Pencipta.

Nama pun insan.
Mana mungkin bisa lari daripada melakukan salah silap.
Mana mungkin tidak pernah mengeluh dalam dugaan.
Tapi percaya Allah itu selalu bersama.
Yakin Allah itu mendengar dan sentiasa di sisi.
Tabah dan sabar pasti hadir jadi peneman.
Doa itu utuh jadi sumber kekuatan.
Bukankah senjata orang mukmin itu doa?

Jika pernah langkah kakimu tersasar.
Jangan gementar, jangan gusar.
Sebab Allah sediakan jalan untuk kembali.
Macam memandu,
Bila kita tersilap jalan, ada U-turn untuk kita berpatah balik.
Cuma kita boleh sedar atau;
Kita sudah alpa dalam nikmat dunia yang sementara.

Andai dirimu pernah tenggelam dalam buasnya nafsu.
Diri hanyut dalam gelombang maksiat.
Pasir-pasir jahiliah makin menebal menjadi daki dalam hidup.
Yakin dan percaya.
Pintu taubat Sang Pencipta itu terbuka luas,
Kau tahu bukan?
Ampunan Allah itu lagi besar dari murkaNya.
Kasih sayangnya itu lebih luas berbanding amarahNya.

Terkadang, kita terlalu fikirkan kemewahan alam ini.
Kita terikut apa yang nafsu mahukan.
Kita leka dengan permainan duniawi.
Sehingga kita terlupa, kita bahkan semakin lupa.
Akhirat itu yang utama, akhirat itu tempat abadi.
Kita terlalu pentingkan penilaian insan.
Sehingga kita terlupa pandangan Ilahi yang jauh lebih penting.
Jauh lebih bermakna, untuk kita kejar syurga nan indah.

Saling nasihat menasihatlah kita.
Nsaihat ke arah kebenaran, juga kesabaran.
Sebarkan cinta. Cinta dalam nasihat.
Kerana cinta itu membawa kita ke syurga.
Jika jalannya menuju neraka, yakin itu bukan cinta.

Tegur diri ini andai ada salah silap, ada yang kurang senang pada pandangan pancaindera. Maafkan segala kesalahan yang mungkin diri ini lakukan sama ada sengaja mahupun tidak. Doakan kesejahteraan dan kejayaan bersama, dunia akhirat. Jaga diri, jaga hati, jaga iman. Moga Allah menjaga kita semua. Moga Allah redha.

Salam sayang,
Aysa Kamaruddin
30 Oktober 2014